PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa seorang lagi pemimpin kanan UMNO bakal dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan isu Tabung Haji selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman, berkata siasatan terhadap pemimpin kanan UMNO seperti didakwa itu tidak terdapat dalam senarai penyiasatan yang diterima pihaknya.
“Kadang-kadang, masyarakat kita di Malaysia lebih mempercayai spekulasi ataupun andaian tanpa mendapatkan bukti atau punca berita itu dengan tepat.
“Jawapan saya adalah, tiada.
“Saya pun tak pasti daripada mana berita itu boleh sampai, daripada mana berita itu boleh datang.
“Tidak ada dalam senarai kita sekalipun," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM, pada Khamis.
Sebelum ini, seorang pemimpin kanan UMNO dilaporkan bakal dipanggil SPRM minggu depan bagi membantu siasatan berkaitan isu Tabung Haji, selepas diberi ruang menyelesaikan urusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung minggu ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti itu tidak akan menghalang tindakan SPRM sekiranya terdapat bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pemimpin UMNO yang terlibat dalam sebarang salah laku.
Beliau berkata UMNO bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM bagi membolehkan proses pendakwaan dijalankan sekiranya siasatan mendapati terdapat asas kukuh untuk berbuat demikian.