Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan tujuh individu dan menyita 14 buah kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai lebih RM1.5 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Kenderaan yang diseludup dikatakan telah dikategorikan sebagai kenderaan lusuh yang mana dilarang diimport tanpa kebenaran khas ke negara ini kecuali dalam bentuk alat ganti terpakai atau untuk sukan permotoran.

Kesemua tangkapan dan rampasan itu dibuat pasukan itu dalam operasi selama dua hari sejak Selasa lepas di sekitar Seremban dan Johor Bahru.

Hasil intipan dan risikan pegawai SPRM dan maklumat daripada orang awam selama hampir sebulan, dua individu ditahan dan dua buah kenderaan disita di daerah ini kerana didapati menggunakan pelekat cukai jalan asli dengan nombor pendaftaran kenderaan sah atau sering dikenali sebagai kereta kembar, klon atau pendua.

Susulan penahan dua lelaki berkenaan, pasukan SPRM yang diketuai oleh Pengarah SPRM Negeri Sembilan Shaharom Nizam Abd Manap sendiri telah membuat serbuan ke sebuah rumah di Johor Baharu dan menahan tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 22 hingga 46 tahun.

Dalam serbuan itu, pasukan SPRM turut menyita 12 buah kenderaan pelbagai jenama termasuk kenderaan mewah yang disyaki diseludup dari negara jiran.

Difahamkan sebuah premis pejabat juga telah diserbu dan beberapa peralatan seperti komputer dan pencetak telah dirampas termasuk pelekat cukai jalan asli yang telah siap bercetak dan seorang lelaki ditahan.

Semua yang ditangkap telah ditahan reman antara dua hingga empat hari.

Shaharom Nizam ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan sitaan kenderaan terbabit.

Beliau turut meminta semua pemilik kenderaan lusuh atau klon menyerahkan secara sukarela kenderaan dalam milikan mereka ke pejabat SPRM yang berhampiran atau tindakan undang-undang akan diambil jika enggan berbuat demikian.

Pemilikan kenderaan lusuh adalah berbahaya kerana jika digunakan dalam aktiviti jenayah dan berlaku kesalahan trafik akan mengakibatkan penganiayaan kepada pemilik yang sah.

Selain itu, jika berlaku kemalangan tiada tuntutan insuran boleh dibuat kerana kenderaan lusuh tidak mempunyai perlindungan insuran.

Kerajaan juga mengalami kerugian kerana tiada hasil cukai dapat dikutip dan industri automobil negara juga terjejas jika kenderaan lusuh tidak dikawal.

Shaharom Nizam memaklumkan siasatan kes itu dibuat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.