Skip to main content

Malaysia

SPRM perkasa penggunaan teknologi terkini, perkukuh agenda pembanterasan rasuah

PUTRAJAYA, 18 Jun -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman bercakap pada Sidang Media Khas SPRM di Ibu Pejabat SPRM hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata ancaman seperti pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa, ketirisan dana awam serta jenayah rentas sempadan kini semakin canggih yang memerlukan pendekatan lebih strategik, pantas serta berteraskan teknologi. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh agenda pembanterasan rasuah negara dengan memanfaatkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi mendepani landskap jenayah itu yang semakin kompleks dan mencabar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata ancaman seperti pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa, ketirisan dana awam serta jenayah rentas sempadan kini semakin canggih yang memerlukan pendekatan lebih strategik, pantas serta berteraskan teknologi.

“Penggunaan teknologi digital, analitik data dan AI perlu diperkasakan secara menyeluruh merangkumi aspek risikan, siasatan, forensik digital, pendakwaan serta pengurusan organisasi bagi memastikan SPRM kekal berdaya saing, responsif dan relevan dalam menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Bilangan 2 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, semalam yang dihadiri Abd Halim serta Pengerusi LPPR Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Abd Halim berkata usaha membanteras rasuah bukanlah tanggungjawab SPRM semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama padu daripada seluruh ekosistem negara melibatkan kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan serta masyarakat.

Beliau berkata LPPR merupakan rakan strategik penting yang memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan setiap dasar, strategi dan tindakan SPRM sentiasa berada pada landasan tepat serta selaras dengan kepentingan negara.

“SPRM hari ini berdiri atas asas kukuh sejak penubuhannya pada 1967. Menjadi tanggungjawab kepimpinan hari ini untuk meneruskan kesinambungan tersebut dengan memperkukuh segala yang telah baik serta menambah baik ruang-ruang yang masih boleh dipertingkatkan demi memperkasakan institusi ini,” katanya.

Abd Halim turut berharap hubungan strategik antara SPRM dan LPPR akan terus diperkukuh dalam usaha membina sebuah institusi pencegahan rasuah lebih mantap, berintegriti dan terus mendapat kepercayaan rakyat.

Sementara itu, Mohamad Salim dalam kenyataan sama merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Abd Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

“Pelantikan Abd Halim amat signifikan memandangkan beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman negara, termasuk lebih empat dekad berkhidmat dalam institusi keadilan dan pentadbiran undang-undang.

“LPPR yakin pengalaman, kewibawaan serta integriti Abd Halim akan terus memperkukuh kredibiliti dan keberkesanan SPRM sebagai institusi utama dalam menerajui agenda pembanterasan rasuah negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement