Skip to main content

Malaysia

SPRM reman dua tokoh korporat adik beradik bergelar Datuk Seri, Datuk Wira

Dua tokoh korporat disiasat SPRM bagi membantu siasatan kes urusan pelaburan kira-kira RM10 juta. - Gambar SPRM
Dua tokoh korporat disiasat SPRM bagi membantu siasatan kes urusan pelaburan kira-kira RM10 juta. - Gambar SPRM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua tokoh korporat yang juga adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira direman lima hari bagi membantu siasatan kes disyaki bersubahat menyeleweng serta menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.

Perintah reman bermula hari ini hingga 5 Okt terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an ditahan kira-kira 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sumber berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada penghujung 2020.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama, iaitu Datuk Seri berusia lingkungan 40-an,” katanya kepada Bernama.

Sumber itu berkata SPRM turut menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan serta wang tunai kira-kira RM30,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement