KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menjalankan siasatan berhubung beberapa isu membabitkan kerugian yang dialami UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings) pada 2023.
Siasatan itu merangkumi pelbagai isu, termasuk pembangunan projek solar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.
Menurut SPRM, sejumlah RM42 juta dilaporkan telah dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar berkenaan dan pembayaran tersebut dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).
“SPRM menegaskan bahawa siasatan ini masih berjalan memandangkan kompleksiti kes yang melibatkan aspek teknikal serta menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan,” jelas kenyataan itu pada Ahad.
Dalam pada itu, bagi melengkapkan proses penyiasatan, SPRM akan meneliti sekiranya terdapat isu lain yang relevan termasuk kelemahan tatakelola sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
SPRM juga menyambut baik keprihatinan dan ketegasan Perdana Menteri dalam usaha mengenal pasti serta menyelesaikan kelemahan yang menjadi faktor kerugian kepada UiTM Holdings.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau menegaskan SPRM akan berusaha menyelesaikan siasatan berkenaan dengan kadar segera secara bebas dan adil.
Semalam, Anwar mengarahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalankan semakan terhadap tadbir urus dan pengurusan UiTM Holdings susulan kebimbangan berhubung kerugian dialami syarikat itu.