JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang ketua pegawai eksekutif syarikat pembekalan air dan seorang pemilik syarikat berhubung kes rasuah, semalam.

Menurut sumber kedua-dua lelaki berusia 38 dan 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 4 petang semalam bagi membantu siasatan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata pagi ini Mahkamah Majistret Johor Bahru telah membenarkan tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini terhadap kedua-dua lelaki itu.

Difahamkan siasatan dijalankan susulan beberapa aduan pada 2023, berkaitan pemberian rasuah sebagai balasan membantu syarikat memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan.

Kedua-dua mereka juga dipercayai terlibat dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berhubung permohonan sumbangan bagi satu program berjumlah RM3.3 juta, sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

-- BERNAMA