KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu ketika mengemukakan tuntutan sebanyak RM170,000 kepada sebuah agensi kerajaan pada 2018.

Menurut sumber lelaki terbabit merupakan pengurus syarikat yang terlibat dalam pelaksanaan Projek "Community Drumming" telah ditahan ketika hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 11 pagi.

Tuntutan itu dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kudat, Sabah untuk Projek "Community Drumming" di bawah Majlis Harga Barang Negara bagi kawasan Matunggong dan Sikuati.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan pengarah syarikat terlibat disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Lelaki berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dijangka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa ini.

-- BERNAMA