Skip to main content

Malaysia

SPRM tidak serah notis isytihar harta kepada anak Saravanan berusia 12 tahun

Laporan yang didakwa oleh pihak tertentu di media sebelum ini kononnya agensi itu berbuat demikian serta menuntut kehadiran fizikal kanak-kanak berkenaan, tidak tepat. - Foto Bernama
Laporan yang didakwa oleh pihak tertentu di media sebelum ini kononnya agensi itu berbuat demikian serta menuntut kehadiran fizikal kanak-kanak berkenaan, tidak tepat. - Foto Bernama

Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada anak bongsu bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, yang berusia 12 tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata laporan yang didakwa oleh pihak tertentu di media sebelum ini kononnya agensi itu berbuat demikian serta menuntut kehadiran fizikal kanak-kanak berkenaan, tidak tepat. 

Beliau menjelaskan bahawa SPRM menggunakan pertimbangan budi bicara yang rasional, bagi mengecualikan kanak-kanak daripada diserahkan notis berkenaan. 

“Saya ingin maklumkan di sini berkenaan isu penyerahan notis kepada anaknya yang berusia 12 tahun itu, sebenarnya pihak kami tidak menyerahkan notis kepada kanak-kanak berkenaan. 

“Walaupun di bawah undang-undang tidak disebut secara khusus perundangan berkenaan dengan kategori umur (dewasa atau kanak-kanak) bagi terma saudara atau sekutu, kita menggunakan budi bicara dan istilah munasabah, maka kita putuskan untuk tidak menyerahkan notis itu kepada anak beliau yang berumur 12 tahun,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-59 di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Mengulas lanjut berhubung kehadiran kanak-kanak terbabit di ibu pejabat agensi itu Isnin lepas, Abd Halim menjelaskan pihak berkuasa itu tidak pernah mengeluarkan arahan memanggil kanak-kanak berkenaan secara fizikal.

“Tidak, itu tidak dikatakan datang secara fizikal (dipanggil)... lebih kepada ibu bapa yang bawa anak-anak dia.

“Mungkin nak tinggalkan di rumah tak ada orang dan sebagainya, jadi maknanya bawa datang itu biasalah,” katanya mengulas naratif kononnya SPRM memaksa kehadiran kanak-kanak itu.

Isnin lepas, Saravanan bersama isteri dan dua anaknya dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi menerima notis berkenaan.

Kehadiran kanak-kanak itu bagaimanapun mencetuskan polemik dan teguran peguam, susulan persepsi awal yang mendakwa SPRM mengabaikan kapasiti undang-undang kanak-kanak dengan menuntut kehadirannya secara fizikal

Sementara itu Abd Halim berkata, notis pengisytiharan harta itu dikeluarkan di bawah Seksyen 36(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) dan bukannya di bawah Akta SPRM.

Menyentuh mengenai tempoh akhir pengisytiharan, beliau berkata di bawah AMLA, tempoh masa asas yang diberikan kepada mana-mana individu selepas diserahkan notis ialah selama sebulan.

Bagaimanapun, sekiranya tempoh berkenaan didapati tidak mencukupi atas alasan yang munasabah, pihak SPRM akan memberikan lanjutan tempoh masa yang sewajarnya tertakluk kepada permohonan. 

Tindakan SPRM mengeluarkan notis itu, susulan siasatan berterusan terhadap Saravanan berhubung pertuduhan kes rasuah sebelum ini.

Ahli Parlimen Tapah itu berdepan tiga pertuduhan menerima suapan hampir RM1.09 juta berkaitan kelulusan 1,000 kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement