MALAYSIA
SST untuk buah import bendung penyeludupan, galak beli hasil tempatan - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan cukai SST itu bagi mendorong rakyat supaya lebih mengutamakan buah-buahan tempatan. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan import adalah langkah kerajaan untuk menangani isu penyeludupan berterusan di negeri bersempadan.
Ringkasan AI
- Kerajaan perluas SST ke atas buah-buahan import bagi menangani isu penyeludupan di kawasan sempadan seperti Kelantan, Kedah dan Perlis.
- Langkah ini bertujuan galak rakyat beli buah tempatan, sekaligus sokong hasil pertanian dalam negara.
- PM Anwar akui ada bantahan, namun tegaskan cukai ini penting untuk kawal ketirisan dan lindungi ekonomi tempatan.
"Jika tidak, selamanya akan ada penyeludupan melalui kawasan sempadan seperti di Sungai Golok, Kelantan, Kedah (Bukit Kayu Hitam) dan Perlis (Wang Kelian dan Padang Besar)," katanya.
Beliau yang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata setakat ini buah-buahan import seperti limau dan epal masih dikecualikan daripada SST.
Pada masa sama, Anwar memuji kualiti buah avokado tempatan dari Sabah yang didapati lebih baik berbanding produk import.
"Jadi, kita mempunyai pilihan. Saya juga telah berbincang dengan Menteri Besar Kelantan mengenai potensi tarikan ekonomi di negeri ini.
"Negeri-negeri seperti Selangor, Johor dan Sarawak sudah memiliki kekuatan ekonomi tersendiri dan kerajaan boleh memberikan lebih banyak autonomi kepada mereka," katanya.
Pada 27 Jun lepas, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata walaupun buah-buahan import tertentu seperti strawberi, beri biru dan avokado kekal dikenakan cukai di bawah peluasan SST, pengecualian untuk epal dan oren bertujuan meringankan beban kewangan pengguna, memandangkan penggunaan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami