KUALA LUMPUR: Statistik COVID-19 di negara ini terus melonjak dengan 2,875 kes baharu direkodkan pada Khamis menjadikan jumlah keseluruhan kini 384,688 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu 2,846 merupakan penularan tempatan manakala 29 lagi merupakan kes import.

Beliau juga memaklumkan, Kelantan mencatatkan jumlah paling tinggi dengan 662 kes, diikuti Selangor (633), Sarawak (474) dan Kuala Lumpur (332).

Hanya Perlis tidak mencatatkan sebarang kes baharu, katanya.

Sebanyak 2,541 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh adalah sebanyak 361,267 kes.

Tujuh kematian baharu dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,407 kes, manakala 248 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 115 menerima bantuan alat pernafasan.