Stok bekalan darah negara masih mencukupi namum masih memerlukan penderma tampil secara berterusan bagi memastikan stok bekalan darah berada di paras optimum sepanjang masa.

Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr Noryati Abu Amin, berkata perkhidmatan menderma darah masih beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana aktiviti ini merupakan antara perkhidmatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia bagi perawatan pesakit.

Tanpa menafikan aktiviti menderma darah seluruh negara turut terjejas berikutan COVID-19 dan penguatkuasaan PKP, beliau berkata pelbagai usaha termasuk mempergiatkan promosi melalui media sosial serta melanjutkan waktu operasi di pusat kutipan telah dilakukan.

"Bagaimanapun, penganjuran kempen derma darah kebanyakannya dibatalkan dan kebimbangan masyarakat terhadap jangkitan COVID-19 juga menyebabkan penurunan bilangan penderma darah yang hadir," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata beberapa langkah tambahan telah diambil bagi mencegah penularan COVID-19 ketika individu hadir untuk menderma darah, antaranya mengehadkan jumlah penderma darah di lokasi pada satu-satu masa.

"Selain itu, langkah yang diambil ialah mengamalkan jarak sosial, menekankan amalan kebersihan diri terutamanya mencuci tangan dengan sabun serta menyediakan kaunter saringan awal iaitu pemeriksaan suhu dan pertanyaan berkenaan sejarah perjalanan kepada bakal penderma," jelasnya.

"Keperluan darah yang mencukupi sepanjang masa adalah sangat penting bagi merawat pesakit seperti mangsa kemalangan, ibu mengandung yang mengalami komplikasi pendarahanan, bayi pramatang, pesakit kanser dan thalassemia serta pesakit yang menjalani pembedahan besar," ujarnya.

Orang ramai boleh menderma darah di tiga lokasi iaitu PDN Jalan Tun Razak di sini pada Isnin hingga Jumaat bermula jam 7.30 pagi sehingga 8 malam manakala Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang.

Selain itu, operasi di PDN Donation Suite, Midvalley Mall di sini bermula setiap hari dari jam 10 pagi hingga 5 petang manakala di Suite Derma Darah Puspanita, Putrajaya, pada hari Selasa sehingga Jumaat bermula jam 10 pagi sehingga 7 malam dan hujung minggu pada jam 9 pagi sehingga 6 petang.

Sementara itu, bekalan darah di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) masih di tahap mencukupi.

Bagaimanapun, Pemangku Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Mohammad Faid Abd Rashid, berkata pihaknya masih memerlukan ramai penderma dalam memastikan bekalan darah mencukupi bagi kegunaan pesakit lain pada masa akan datang.

"Dalam tempoh PKP ini, pusat perkhidmatan darah HTJS masih beroperasi iaitu pada hari Sabtu dan Ahad dari jam 9 pagi hingga 3 petang dan waktu biasa iaitu Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Bagaimanapun, katanya, penderma yang mempunyai gejala COVID-19 atau baru pulang daripada luar negara serta mempunyai kontak rapat kepada kes yang disyaki COVID-19, tidak dibenarkan menderma darah.

-- BERNAMA