Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S.Streram berharap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan turun menjayakan kempennya seperti mana dilakukan semasa pilihan raya kecil sebelum ini.

Bagaimanapun ia terserah kepada pemimpin PH itu untuk membuat keputusan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah jumpa Tun Dr. Mahathir dan memberi penjelasan kepada beliau sama ada untuk turun atau tidak (di Rantau). Itu (urusan) pemimpin atas, saya tidak boleh komen.

“Sebagai calon saya selalu menerima sesiapa sahaja turun. Jadi, saya harap Tun Dr. Mahathir turun beri sokongan yang kuat walaupun dalam laporan media saya dengar beliau menyokong saya. Saya harap beliau akan turun,” katanya kepada media selepas melakukan kempen bertemu pengundi di Pekan Mambau pada Isnin.

Beliau juga menghargai sokongan jentera pilihan raya dan pemimpin PH yang sanggup turun padang membantunya untuk menang PRK DUN Rantau.

“Mereka telah turun dan membantu dari banyak sudut. Kita sudah selesaikan isu klinik kesihatan, PR1MA dan sebagainya.

“Bagi saya apabila saya tengok gambar Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar (pada poster kempen) saya rasa itu satu penghormatan kepada saya. Macam Tok Mat itu seorang sahaja, apa dia mahu buat, dia seorang sahaja sekarang, dia tiada kerja sekarang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu beliau menegaskan orang ramai yang hadir ke ceramah politik PH adalah penduduk tempatan dan bukan orang luar dari Rantau.

“Kita ada kekuatan kita sendiri, sebab masa ceramah politik kita ada pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang datang ke Rantau. Saya lihat semua yang datang ceramah adalah orang tempatan,” tambahnya.