SEPANG: Kerajaan akan mengumumkan struktur cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk kenderaan elektrik (EV) yang lebih kompetitif bulan depan sebagai usaha menggalakkan penggunaan kenderaan itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Rel Antarabangsa di sini hari ini, Loke berkata struktur cukai jalan itu hanya akan terpakai selepas 2025 iaitu selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai jalan kepada kenderaan EV.

Loke berkata kerajaan maklum keresahan pemilik kenderaan EV yang bimbang dikenakan cukai jalan lebih tinggi selepas tamat tempoh pengecualian itu dan kementeriannya telah membentangkan struktur cukai jalan yang lebih kompetitif kepada Pasukan Petugas Khas EV.

"Penggalakan itu diperlukan supaya orang ramai mula menerima penggunaan EV dan ekosistem itu perlu dilaksanakan dan dibangunkan termasuklah sistem pengecasan dan sebagainya dan memang itu antara perkara yang kita sedang ambil tindakan sebagai pendekatan menyeluruh kerajaan," katanya.

Pada 15 Feb 2022, Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan menawarkan pemberian insentif Pengecualian Bayaran Fi LKM sepenuhnya untuk kenderaan EV bermula 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2025.

Pengecualian itu diberikan kepada kenderaan EV yang menggunakan bateri atau sel bahan api dan tidak terpakai untuk kenderaan hibrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman petrol atau diesel.

Terdahulu dalam ucapannya, Loke berkata kerajaan menyasarkan penglibatan pemain industri rel tempatan secara aktif dalam program penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi membolehkan pelanjutan jangka hayat pengoperasian aset rel daripada 10 hingga 20 tahun kepada 30 hingga 40 tahun.

"Justeru meletakkan Malaysia sebagai hab MRO rel serantau, memupuk pengekalan bakat dan merangsang ekonomi," katanya.

-- BERNAMA