Gara-gara mencuri pakaian termasuk telekung yang sedang dikeringkan di sebuah kedai dobi layan diri, sepasang suami isteri ditahan polis selepas kegiatan jenayah mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Bagaimanapun, kegiatan jenayah pasangan yang berusia 51 dan 19 tahun itu tular di media sosial.

Dalam kejadian 3 petang, 4 November lalu, kedua-dua suspek bertindak mengeluarkan sejumlah pakaian termasuk telekung dari sebuah mesin pengering kedai dobi layan diri di Simpang Empat, Kangar sebelum melarikannya.

Ekoran kejadian itu, pemilik pakaian mengalami kerugian kira-kira RM500.

Pasangan suami isteri itu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman diperoleh daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah manakala Peguam, Zuhair Ahmad Zakuan bertindak sebagai peguam pemerhati.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi memaklumkan pasangan suami isteri itu ialah penganggur dan saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka negatif penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau berkait dengan dadah.