KUALA PILAH: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan meninggalkan dua anaknya yang masih kecil tanpa pengawasan dalam kereta yang tidak dimatikan enjin bulan lalu.

Tindakan tersebut telah menyebabkan kenderaan yang diparkir menggelongsor dan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Shariman, 33, dan Siti Salasiah Jumaah, 25 membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama-sama didapati mendedahkan dua anaknya iaitu seorang perempuan berusia lima tahun tujuh bulan dan seorang lelaki berusia setahun tiga bulan dengan cara meninggalkannya dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjin tanpa pengawasan.

Ia mungkin akan menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 12 Mac lalu jam lebih kurang 5.30 petang di bahu jalan berhadapan Tapak Bazar Ramadan Kuala Klawang, Jelebu.

Sehubungan itu tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(A)Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kamar sama, Siti Salasiah turut mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya,jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pada tarikh, waktu dan lokasi sama, sebagai pemandu sebuah kereta jenis Proton Persona, dia didakwa meninggalkan kenderaan tersebut dalam keadaan enjin tidak dimatikan tanpa pengawasan dengan cuai telah mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 40 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Norazihah kemudiannya memohon tarikh sebutan kes bagi fakta serta hukuman dan menawarkan wang jaminan sebanyak RM5,000 seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah bagi pertuduhan pertama.

Manakala Norazihah menawarkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin kepada Siti Salasiah bagi pertuduhan kedua.

Dalam rayuannya kedua-dua tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan susulan Siti Salasiah hanya merupakan suri rumah manakala Muhammad Firdaus baru mendapat pekerjaan sebagai tukang kebun selain berdepan dengan kekangan kewangan.

Hakim kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi pertuduhan secara bersama dan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu,satu lagi pertuduhan yang dihadapi Siti Salasiah dikenakan wang jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dengan tarikh sebutan semula kes pada 2 Mei depan.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian