KULIM: Lelaki yang disyaki menikam isteri sehingga 13 kali dalam kejadian di Taman Tiram di sini pada Isnin, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 43 tahun itu bermula Selasa hingga 21 September depan.
"Lelaki ini direman selama tujuh hari sehingga 21 September ini bagi membantu siasatan kes membabitkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa, berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia selepas dikatakan ditikam menggunakan pisau lipat.
Menurut Syamsul, suspek selepas itu, menyerah diri dan membuat pengakuan menikam mangsa sebanyak 13 kali iaitu tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan.
Katanya, pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut diserahkan kepada polis dan dijadikan barang kes.
Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat. -Sinar Harian