POKOK SENA: Jenazah anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman selamat tiba di Masjid Al Anwar, Kampung Tengah di sini tepat jam 9 pagi.

Suasana pilu menyelubungi ketibaan jenazah yang diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga sebaik tiba di sini. 

Jenazah Allahyarham sebelum itu tiba di Kolej Tentera Udara Kepala Batas, jam 8.10 pagi selepas diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang.

Jenazah Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam itu disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir sebelum diterbangkan menggunakan pesawat TUDM C-130H Hercules.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd Akmar Mohd Dom turut mengiringi jenazah serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Faridah.

Terdahulu, Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lalu.

Foto Astro AWANI

Keputusan awal bedah siasat telah diperoleh pada 20 Mei lalu mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat cardiopulmonary arrest due to myocardial ischemia/thrombosis atau serangan sakit jantung.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, ia berasaskan keputusan bedah siasat Allahyarham yang dijalankan pihak Hospital Hammoud, Saida, Lubnan.

Majlis Penghormatan jenazah Allahyarham Faridah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri pada Khamis.

Tetamu kenamaan yang hadir memberikan tabik hormat ketika keranda jenazah diusung dan diletakkan di tengah-tengah medan dibaluti bendera UNIFIL.

Majlis tersebut dihadiri Komander UNIFIL, Leftenan Jeneral Aroldo Lazaro; Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yaacob; Panglima 5 Briged (LAF), Brigedier Jeneral Ahmad Saadeh; Komander Sektor Barat, Brigedier Jeneral Enrico Fontana serta Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni.

Markas Angkatan Bersama memaklumkan, upacara dimulakan dengan pengurniaan pingat PBB dan Pingat Keberanian Tentera Lubnan (gangsa) kepada Allahyarham Faridah.