PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini mengumumkan kebenaran penggajian pekerja asing untuk sub sektor gudang darat.

Menerusi satu kenyataan, KSM memaklumkan kebenaran itu selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ketujuh pada 18 Julai lepas.

Selain itu, KSM turut memaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku agensi kawal selia bagi sub sektor borong dan runcit turut bersetuju memperluaskan syarat atau kriteria kelayakan kuota penggajian pekerja asing di bawah sub sektor itu kepada peniaga runcit dengan keluasan lantai kurang daripada 2,500 meter persegi.

Sehubungan itu, KSM memaklumkan permohonan kuota baharu penggajian pekerja asing bagi kedua-dua sub sektor tersebut telah dibuka dan permohonan boleh dibuat oleh majikan di laman web www.fwcms.com.my.

Menurut KSM, sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat menerusi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM di talian 03-88852939/2940 dan emel [email protected].

Pertanyaan juga boleh dibuat dengan menghubungi agensi kawal selia iaitu Unit Logistik Perdagangan, Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa Kementerian Pengangkutan [email protected] (03-88921278) atau [email protected] (03-88921268) untuk sub sektor gudang darat.

Bagi sub sektor borong dan runcit pula boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran Perniagaan dan Industri Perkhidmatan KPDNHEP menerusi [email protected].

-- BERNAMA