Bayaran yuran kepada agensi pembantu rumah tidak boleh terlalu mahal, dan perlu ditetapkan pada kadar yang lebih munasabah.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, walaupun bagi jangka panjang kuasa pasaran menentukan kadar yuran itu, pada masa sama ia perlu relevan kepada keperluan rakyat.

Beliau berkata, ada agensi mengenakan yuran sehingga RM12,000 bagi setiap amah dan ia terlalu mahal bagi kebanyakan penduduk tempatan.

"Dalam jangka panjang, saya agak bersetuju bahawa kuasa pasaran yang sebenarnya penentu kepada yuran ini, namun pada masa sama mereka perlu bersikap munasabah dan relevan kepada keperluan masyarakat," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan konvensyen pertama dunia mengenai Shirdi Sai Baba' di bangunan Sri Maha Mariamman, Kuala Lumpur.

"Kami tidak akan menghalang sesiapa pun daripada mengenakan bayaran lebih rendah daripada jumlah yang dipersetujui. Sebab itulah kami merundingkan struktur kos yang lebih bersesuaian bagi agensi di kedua-dua pihak," kata Subramaniam lagi.

Kerajaan Malaysia dan Indonesia sebelum ini telah bersetuju dalam menetapkan RM4,511 sebagai bayaran pengambilan pembantu rumah.

Bagaimanapun, banyak agensi mendakwa yuran tersebut terlalu rendah sehingga berdepan dengan risiko gulung tikar.