Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan semula parti.

Beliau berkata ini adalah kerana parti itu sangat memerlukan perubahan.

“Kita perlukan perubahan. Kita perlukan perubahan. Kita perlukan perubahan.

“Saya tiada sebarang keinginan untuk jawatan, saya sudah pun menjadi menteri. Apa lagi yang saya perlukan?

"Jadi, saya mengumumkan bahawa saya akan bertanding jawatan nombor satu," katanya semasa berucap di hadapan hampir 2,000 ketua cawangan dan ahli MIC yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia ketika mesyuarat ‘Isu Semasa dan Masa Depan MIC’, di Sentul hari ini.

Pegumumannya menerima tepukan dan sorakan hebat oleh ahli-ahli MIC yang hadir.

Di satu sidang media selepas ucapannya, Subramaniam berkata beliau terpaksa mengambil keputusan tersebut demi masa depan parti yang tidak lekang dengan krisis sejak setahun lalu.

“Saya terpaksa mengambil keputusan bertanding mencabar jawatan nombor satu ini kerana nasib dan hala tuju parti ini sudah entah ke mana ketika ini,” katanya.

Sementara itu pengumumanya diterima baik oleh penyokong-penyokongnya, yang berjanji akan memberi kemenangan untuknya.

Bekas ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkata Subra adalah orang yang lebih baik untuk jawatan itu.

"Kami akan menyokong beliau. Beliau berpengalaman akan mendatangkan kebaikkan kepada parti," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada majlis itu.

Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy berkata keputusan Subramaniam adalah keputusan dinanti-nantikan.

"Kita memerlukan pemimpin yang mementingkan parti dari diri sendiri. Kami akan menyokong beliau dan memastikan beliau menang," katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, RoS telah mengarahkan MIC untuk mengadakan pilihan raya semula bagi tiga naib presiden dan 23 jawatan CWC dalam tempoh 90 hari , berikutan penyelewengan dalam pilihan raya yang diadakan pada tahun 2013.