KUALA LUMPUR: Kerajaan kini menanggung beban fiskal yang amat besar apabila subsidi bahan api mencecah kira-kira RM200 juta sehari, bersamaan RM2,300 setiap saat.
Pekara itu dinyatakan oleh Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein ketika temu bual khas di rancangan Agenda AWANI.
Advertisement
Menurut beliau, angka tersebut menggambarkan skala sebenar tekanan kewangan yang sedang ditanggung negara dalam usaha mengekang kenaikan kos hidup dan inflasi susulan ketidaktentuan bekalan serta harga minyak global.
“Setiap saat kita bakar RM2,300 untuk subsidi bahan api. Itu bersamaan kira-kira RM200 juta sehari. Bebannya amat berat.
“Dari segi harga dan inflasi, kita banyak dilindungi dengan subsidi minyak, khususnya diesel. Tetapi ia bukan sesuatu yang mampan untuk jangka masa lama,” katanya.
Nurhisham menjelaskan, kerajaan sedang meneliti langkah penjimatan perbelanjaan dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang, selain menyeru rakyat serta sektor perniagaan supaya bersama-sama mengamalkan penggunaan tenaga secara lebih berhemat.
Katanya, amalan penjimatan bahan api di peringkat individu dan industri mampu membantu mengurangkan tekanan keseluruhan terhadap kewangan negara.
Malah, beliau turut mengakui bahawa Malaysia masih belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang krisis bekalan atau geopolitik yang berpanjangan, walaupun negara banyak belajar daripada pengalaman lalu termasuk pandemik COVID-19 serta konflik Rusia-Ukraine.
“Kalau saya nak katakan kita bersedia sepenuhnya, saya kata tidak. Ada beberapa sektor dan industri yang memang tidak dapat kita lindungi sepenuhnya,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan kenaikan harga bahan api di pasaran antarabangsa turut dipacu oleh kos sebenar minyak mentah, insurans, logistik dan pemprosesan, selain gangguan rantaian bekalan global termasuk laluan perkapalan utama.
"Keutamaan kerajaan kini tertumpu kepada tiga aspek utama iaitu mengawal kenaikan kos, menjamin bekalan asas serta melindungi industri tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," ujarnya.