NATIONAL
Sudah makan sampai kenyang, bayar pula guna resit palsu

Mohd Iqbal Ibrahim, kejadian berlaku sekitar pukul 10.18 malam pada 14 April lalu, apabila salah seorang suspek menunjukkan resit pembayaran dalam talian berjumlah RM304.50 selepas selesai makan di restoran berkenaan. - Foto Tular
KUALA LUMPUR: Sudah makan sampai kenyang, bayar pula guna resit palsu!
Begitulah taktik licik seorang juruaudit syarikat minyak dan gas bersama rakannya yang menunjukkan resit palsu selepas menikmati hidangan di sebuah restoren di Seksyen 13, Shah Alam, di sini.
Namun kelicikan mereka terbongkar apabila ditahan polis awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, kejadian berlaku sekitar pukul 10.18 malam pada 14 April lalu, apabila salah seorang suspek menunjukkan resit pembayaran dalam talian berjumlah RM304.50 selepas selesai makan di restoran berkenaan."Hasil semakan pihak restoran mendapati bayaran tersebut tidak pernah diterima. Ini bukan kali pertama, suspek dipercayai menggunakan taktik sama sebelum ini di premis berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Mohd Iqbal memberitahu, jumlah kerugian keseluruhan akibat penipuan itu dianggarkan sebanyak RM348.10.
Susulan laporan dibuat pemilik restoran, katanya, polis menahan kedua-dua suspek berusia 34 dan 35 tahun sekitar jam 2.50 pagi Isnin.
Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Berdasarkan satu perkongsian di media sosial, suspek dipercayai sengaja meminta nombor akaun bank untuk membuat pembayaran, bukan menggunakan kod QR.
Taktik ini dipercayai bagi mengelakkan pemberitahuan segera (push notification) yang biasanya diterima pihak restoran jika pembayaran benar-benar dibuat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami