Seorang wanita berusia 22 tahun mengalami luka di beberapa anggota badan selepas terjatuh dari motosikalnya akibat diragut dua lelaki di Kampung Pauh Sebanjar, Simpangan, Tumpat, pada Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, mangsa yang juga pembantu kedai, baru pulang dari tempat kerja.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash ingin pulang ke rumahnya yang terletak di Kampung Bendang Pak Yong, namun setibanya di satu selekoh, sebuah motosikal lain berada di bahagian belakangnya.

"Motosikal yang mengekori mangsa ditunggangi dua lelaki dan salah seorang daripadanya menyambar beg duit mangsa yang berada di dalam raga sebelum menolak motosikal yang dinaiki wanita itu.

"Motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan mangsa luka di bahagian lutut, kaki, tangan serta muka,"katanya.

Ab Rashid berkata, pihaknya menganggarkan kerugian yang dialami mangsa berjumlah RM1,700 termasuk seutas rantai leher, wang tunai, kad pengenalan dan kad nikah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, Dengan sengaja menyebabkan cedera dalam melakukan rompak," katanya.