KUALA LUMPUR: Sukuk bernilai RM11.5 bilion yang diterbitkan oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) merupakan pembaharuan sukuk yang telah matang daripada langkah penyelamatan kewangan (bailout) Tabung Haji (TH) sebelum ini dan bukan yang baharu, kata ahli ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi.
Sukuk ialah sijil kewangan Islam, yang mengambil konsep sama seperti bon konvensional tetapi distrukturkan untuk mematuhi undang-undang Syariah.
UJSB ialah sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan (MOF), ditubuhkan untuk mengambil alih aset yang berprestasi rendah dan memperkukuh kedudukan kewangan TH.
Nungsari menyifatkan terbitan sukuk itu sebagai ‘pembaharuan sukuk yang telah matang’.
“Daripada membayar balik sukuk tersebut, UJSB menerbitkan semula sukuk itu,” katanya kepada Bernama.
Sukuk Siri 1 UJSB, yang matang pada 29 Mei 2026, mempunyai nilai penebusan kira-kira RM12.5 bilion.
Daripada jumlah ini, sebanyak RM965 juta diselesaikan dalam bentuk hartanah, membabitkan sebidang tanah seluas 0.63 hektar di Tun Razak Exchange (TRX) dan tanah ladang seluas 8,756.92 hektar di Sarawak.
Baki RM11.5 bilion dibiayai semula melalui sukuk baharu untuk tempoh 10 tahun dengan kadar kupon 3.825 peratus, sekali gus melanjutkan obligasi sedia ada yang matang pada Mei tahun ini kepada Mei 2036.
Nungsari berkata, pada asasnya, jika nilai yang mencukupi dapat diperoleh semula daripada aset yang dipindahkan kepada UJSB, ia boleh digunakan untuk menebus sukuk yang belum diselesaikan.
Pada prinsipnya, jika aset yang dipindahkan menjadi RM20 bilion, jumlah itu boleh digunakan untuk menebus sukuk yang belum diselesaikan.
“Oleh itu, jumlah sukuk yang belum diselesaikan merupakan petunjuk sejauh mana keadaan telah berkembang dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, Nungsari berkata terdapat kemungkinan bahawa UJSB tidak dapat memperoleh semula nilai penuh aset yang diperlukan untuk memenuhi obligasi tersebut.
“Saya fikir kemungkinan mereka untuk mendapat semula keseluruhan nilai tersebut adalah rendah. Terdapat kemungkinan bahawa keseluruhan kekurangan itu tidak dapat dipulihkan. Dalam keadaan sedemikian, MOF menanggung risiko itu,” katanya.
Dalam menjelaskan langkah penyelamatan sebelum ini, Nungsari berkata aset TH pada masa itu adalah kira-kira RM10 bilion, lebih rendah daripada jumlah liabilitinya, yang bermakna TH tidak dapat membayar hibah.
“(Oleh itu), pemindahan sebahagian asetnya kepada UJSB, sebagai pertukaran untuk sukuknya, merupakan langkah penyelamatan TH oleh MOF,” katanya.
Nungsari berkata, secara ringkasnya, aset TH bernilai kira-kira RM10 bilion telah ditukar untuk sukuk bernilai kira-kira RM20 bilion, mengukuhkan lembaran imbangan TH dan membolehkannya menangani kekurangan tersebut.
“Dengan sukuk RM20 bilion itu sebagai sebahagian daripada asetnya, aset TH telah melebihi liabilitinya pada masa itu, membolehkannya membayar hibah.
“TH menikmati kupon daripada UJSB manakala UJSB/MOF menanggung risiko berkaitan dengan aset tersebut, termasuk kekurangan nilai sebanyak RM10 bilion,” katanya.
Beliau berkata UJSB akan meneruskan usahanya untuk mendapatkan semula nilai daripada aset yang dipindahkan selain membayar sukuk, dengan sebarang kekurangan daripada jumlah yang berjaya diperoleh semula ditanggung oleh MOF.
Oleh itu, terbitan sukuk bernilai RM11.5 bilion itu merupakan pembaharuan sukuk sedia ada manakala pengaturan asal membolehkan TH memperkukuh kedudukan kewangannya dan meneruskan pembayaran hibah.
-- BERNAMA