AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilihat masih memasuki pejabatnya seperti biasa di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh pada Khamis.

Beliau memasuki kompleks berkenaan kira-kira pukul 8.59 pagi tadi meskipun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam telah mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Difahamkan beliau hadir ke pejabatnya hari ini untuk berjumpa kakitangan dan bukan meneruskan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka.

“Masuk untuk kali terakhir sahaja, tidak ada buat kerja apa-apa pun (hanya) berjumpa kakitangan,” kata sumber terdekat di Pejabat Ketua Menteri kepada Astro AWANI.

Angin politik Melaka kembali bertiup kencang apabila negeri itu dijangka bakal menerima ketua menteri baharu Jumaat ini selepas Sulaiman dikatakan melepaskan jawatan itu.

Difahamkan jawatan itu akan digantikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurut sumber terdekat Pejabat Ketua Menteri, Istiadat Angkat Sumpah berkenaan akan di adakan pada pukul 3 petang Jumaat ini di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Sehingga kini, Sulaiman mahupunSetiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi memperjelaskan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu ketika ini.

Sulaiman sebelum ini kali pertama menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-12 menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka Ke-11 pada 11 Mei 2018 selepas Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Adun Melaka sebagai Ketua Menteri.

Melaka kemudian terpaksa pula mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas empat Adun menarik sokongan terhadap Sulaiman dan menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang selesa dengan 21 daripada 28 erusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, selepas PRN Melaka November 2021 lalu, situasi politik di negeri ini beberapa kali berdepan detik genting apabila timbul dakwaan kononnya jawatan ketua menteri akan bertukar tangan.

Ia selepas ada pihak Ab Rauf yang juga berhasrat untuk mengambil alih jawatan berkenaan meskipun beliau yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri itu sudah beberapa kali menafikannya.

Tinjauan Astro AWANI di pekarangan Kompleks Seri Negeri sejak 7.30 pagi tadi juga mendapati selain petugas media, pasukan polis turut berada di lokasi bagi mengikuti rapat gelora politik yang sedang melanda ketika ini.

Tun Mohd Ali juga dilihat memasuki pejabatnya di Kompleks Seri Negeri pada pukul 9.53 pagi, bagaimanapun belum dapat dipastikan adakah bakal berlaku pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti yang disebut-sebut semalam.