Ketika Sultan Azlan Shah menyandang jawatan Ketua Hakim Negara di Mahkamah Persekutuan, baginda amat terkenal kerana menyediakan penghakiman bertulis yang lengkap dan penguasaan bahasa Inggeris yang tiada cacat celanya.

Pemberita mahkamah pula mengingati baginda sebagai Ketua Hakim Negara yang tegas, tetapi begitu mesra dengan media.

"Baginda ramah terhadap pemberita mahkamah," kata bekas wartawan Bernama Ratna Melan, yang membuat liputan kes mahkamah selama lebih kurang 15 tahun.

Seorang lagi bekas wartawan Bernama Janine Koay pula amat mengingati Sultan Azlan Shah kerana penghakiman bertulis baginda yang begitu lengkap dari segenap segi.

"Baginda menulis penghakiman dengan baik dan dalam bahasa Inggeris yang sempurna," kata Koay yang membuat liputan kes mahkamah selama hampir 15 tahun.

Bagaimanapun, ada kalanya, Sultan Azlan Shah, Ketua Hakim Negara paling muda ketika dilantik ke jawatan itu pada 1982, boleh menyebabkan pemberita baharu berasa seram sejuk ketika membuat liputan.

Apabila seorang pemberita baharu Bernama diminta berjumpa baginda di dalam kamar, dia menggelabah kerana tidak pasti bagaimana hendak membahasakan diri kepada Sultan Azlan Shah - sama ada Yang Arif atau Tuanku - kerana Ketua Hakim Negara yang akan berjumpa dengannya berketurunan raja.

Mujurlah pemberita mahkamah veteran sedia membantu dan memberi panduan kepadanya tentang perkara itu.

Pemberita muda itu bernasib baik kerana sebaik sahaja memasuki kamar Ketua Hakim Negara, dia mendapati Sultan Azlan Shah hanya ingin memberi kepadanya salinan penghakiman bertulis. Baginda menyerahkan salinan itu dengan pantas, tanpa sempat pemberita itu berkata apa-apa, selain 'terima kasih'.

Pemberita itu kemudiannya diiring ke luar dari kamar itu dengan perasaan amat lega.

Walaupun Sultan Azlan Shah merupakan Ketua Hakim Negara yang tegas, namun baginda mengiktiraf dan menghormati peranan pemberita mahkamah.

Selain merupakan Ketua Hakim Negara paling muda, Almarhum juga adalah hakim Mahkamah Tinggi paling muda di negara Komanwel apabila dilantik menyandang jawatan itu ketika berusia 37 tahun pada 1965.

Pada 1973, baginda dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan ketika berusia 45 tahun dan enam bulan kemudian sebagai Hakim Besar Malaya - jawatan yang baginda sandang sehinggalah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara di Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 12 Nov 1982 ketika berusia 54 tahun.

Baginda menyandang jawatan itu untuk seketika sahaja kerana ditabal sebagai Raja Muda Perak pada 1 Julai 1983 ketika berusia 55 tahun.

Pada 3 Feb 1984 dan berusia 56 tahun, baginda ditabal sebagai Sultan Perak berikutan kemangkatan Sultan Idris.

Almarhum Sultan Azlan Shah memperoleh ijazah undang-undang daripada University of Nottingham, United Kingdom ketika berusia 25 tahun. Baginda mendaftar diri untuk mengikuti pengajian ketika berusia 22 tahun.

Baginda diterima sebagai peguam dalam badan peguam Inggeris oleh Honourable Society of Lincoln's Inn ketika berusia 26 tahun.

Almarhum memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman sebagai majistret kelas satu dan kemudian sebagai presiden mahkamah sesyen. Baginda kemudian dilantik sebagai peguam persekutuan dan timbalan pendakwa raya.

Sultan Azlan Shah juga pernah menyandang jawatan penasihat undang-undang negeri Pahang, penasihat undang-undang negeri Johor, pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya dan ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan.