KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah menerima panggilan telefon daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, pada Rabu yang berkenan bertanya khabar mengenai kesihatannya.
Dalam perkongsian di Facebooknya, Anwar berkata, Sultan Hassanal Bolkiah mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya.
"Menjunjung kasih atas doa dan keprihatinan Kebawah Duli Tuanku.
"Saya turut mendoakan agar Kebawah Duli Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT," katanya di sini, pada Rabu.
Dalam perkongsian sama, Anwar berkata beliau akan menghadap Sultan Brunei di Bandar Seri Begawan minggu depan sempena Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) Ke-27 antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
Isnin lalu, Perdana Menteri menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut dan kini berada dalam pemantauan rapi pasukan pakar perubatan.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini memaklumkan Anwar dijangka dibenarkan keluar dari hospital pada Rabu.