LENGGONG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri ADUN Kota Tampan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad di dalam ucapannya berkata, pandemik COVID-19 telah memberi hikmah terbesar bahawa dengan muafakat dan semangat kebersamaan, rakyat mampu menempuh apa jua dugaan dan cabaran.

Menurutnya, dengan hikmah dan semangat itulah juga, rakyat mampu terus teguh berganding untuk sama-sama membina semula kehidupan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, susulan pelaksanaan fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu, rakyat, khususnya umat Islam dapat merasai semula keindahan Aidilfitri dengan kembali tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka.

“Dengan izin dan rahmat Allah jua, segala nikmat yang dikecapi sepanjang pelaksanaan fasa pemulihan ini adalah berkat kesatuan hati dan semangat perpaduan rakyat tanpa mengira sempadan kaum dan agama dalam berjuang mengharungi krisis kesihatan yang benar-benar menguji ketabahan kita semua,” katanya.

Beliau berharap, dengan mutiara pemikiran serta pedoman berterusan daripada Sultan Nazrin, akan menjadi pendorong dan penguat semangat kepada seluruh anggota pentadbiran untuk menggembleng kudrat dan ikhtiar agar Perak terus mengecapi kemakmuran dan kesejahteraan.