SERI ISKANDAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Masjid Bandar Universiti di sini, yang juga dikenali sebagai Masjid Hijau.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira 7 malam disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Harith Fadzilah Abdul Halim.

Sejurus tiba, Sultan Nazrin berkenan menanam pokok Bunga Tanjung serta merasmikan masjid itu sebelum menyertai majlis tahlil dan doa selamat serta berbuka puasa bersama lebih 800 jemaah.

Baginda turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah sebelum berangkat pulang pada 9.40 malam.

Masjid berkeluasan sehektar dan boleh memuatkan 1,200 jemaah itu mula dibina pada 29 Ogos 2016 hingga 27 Julai 2018.

Ia pernah menerima Anugerah Hamam Lima Bintang pada 15 Mei 2019 apabila menyediakan empat siak lelaki, dua siak wanita dan seorang tukang kebun bagi memastikan kemudahan luaran serta dalaman masjid itu sentiasa kemas, bersih, selamat dan ceria.

Pada 10 Nov 2019, masjid itu merangkul Anugerah Kejiranan Hijau Peringkat Kebangsaan atas inisiatif yang disediakan di premis berkenaan dan komuniti berhampiran.

-- BERNAMA