IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersidang pada 25 Ogos depan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri ke-14 Perak akan bersidang selama empat hari.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas beliau bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri menghadap Sultan Nazrin pada Selasa.

"Sultan Perak telah berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan.

"Berdasarkan perancangan awal, persidangan tersebut akan diadakan secara fizikal dan semua wakil rakyat terlibat manakala ketua-ketua jabatan serta pemerhati akan mengikutinya secara maya.

"Seperti kelaziman sidang DUN sebelum ini, perjalanan persidangan juga boleh diikuti secara langsung di media sosial termasuk Facebook dan Youtube," katanya kepada pemberita dalam sidang media secara maya di sini pada Rabu.

Saarani berkata, satu mesyuarat akan diadakan bersama pasukan keselamatan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan nasihat daripada segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya lagi, antara yang akan diberi perhatian ialah ketetapan jumlah kehadiran ahli dalam dewan, aspek penjarakan fizikal dan kedudukan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk SOP lain yang berkaitan.

"Saya berharap sidang DUN kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk wakil-wakil rakyat berkongsi pandangan dan buah fikiran terutamanya berkaitan dengan usaha secara kolekktif untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19," katanya.

Kerajaan negeri juga, kata beliau, akan mendapatkan nasihat daripada MKN berhubung kehadiran media untuk membuat liputan.

"Sebab pertama ia melibatkan ruang tempat duduk, kalau dibuat (liputan) secara maya tidak ada masalah. Tapi untuk hadir di dalam dewan itu kita kena dapatkan nasihat MKN," katanya.