Ringkasan AI
- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah merasmikan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) KotaSAS yang merupakan stesen utama ECRL di Pahang.
- Stesen ECRL KotaSAS dibina di kawasan seluas 15.57 hektar, dilengkapi pelbagai kemudahan dan berkonsepkan motif Gading Gajah Bersilang Jata Negeri Pahang.
- Pahang mempunyai tujuh stesen ECRL dalam jajaran 258 kilometer, menjadikannya negeri dengan jumlah stesen terbanyak dalam rangkaian ECRL.
PAHANG: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) KotaSAS, di sini hari ini.
Berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda, termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Pada majlis berkenaan, baginda berkenan mendengar sembah ucapan oleh Shamsul Azri yang juga selaku Pengerusi MRL, sebelum menyempurnakan perasmian menerusi gimik khas.
Stesen ECRL KotaSAS merupakan stesen utama ECRL di Pahang yang dibangunkan di kawasan seluas 15.57 hektar dengan reka bentuk diinspirasikan daripada motif Gading Gajah Bersilang pada Jata Negeri Pahang, melambangkan keagungan adat istiadat serta sejarah diraja negeri itu.
Stesen berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bilik tetamu kehormat (VIP), ruang menunggu, eskalator, kedai serbaneka, laluan pejalan kaki dan basikal serta lebih 500 petak parkir, termasuk tempat letak kereta berbumbung solar.
Kedudukannya yang strategik dalam kawasan pembangunan KotaSAS, selain berhampiran Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dan Masjid Bandaraya, bakal memperkukuh peranannya sebagai salah satu hab pengangkutan utama di Kuantan.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Jajaran di Pahang sepanjang 258 kilometer pula melibatkan tujuh stesen iaitu KotaSAS, Cherating, Kuantan Port City (KPC), Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong, sekali gus menjadikan Pahang negeri yang mempunyai jumlah stesen paling banyak dalam rangkaian ECRL.