MALAYSIA
Sultan Selangor berkenan jenamakan semula UPM Kampus Bintulu kepada UPM Sarawak

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah pada Majlis Pengisytiharan Universiti Putra Malaysia Sarawak di Istana Alam Shah, Klang hari ini. - Foto Bernama
KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menjenamakan semula Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu di Sarawak kepada UPM Sarawak (UPMS).
Ringkasan AI
- UPM Kampus Bintulu dijenamakan semula sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) sempena ulang tahun ke-50 penubuhannya, sebagai langkah strategik memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan sosioekonomi Sarawak dan rantau Borneo.
- UPMS akan melaksanakan projek AgriHub@Gedong dan menubuhkan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) sebagai inisiatif utama menyokong keterjaminan makanan dan pembangunan pertanian berimpak tinggi di Sarawak.
- Penjenamaan semula ini disokong oleh kepimpinan negeri dan persekutuan, serta selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak dalam sektor pertanian, perhutanan dan tenaga boleh baharu.
"Beta berharap usaha dan komitmen UPM ini dapat diteruskan untuk membangunkan bakat dan kepakaran bagi kemajuan sosioekonomi negara terutama di Sarawak melalui Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan UPM yang telah dibangunkan," titah baginda pada Majlis Pengisytiharan UPMS di sini hari ini.
Mengiringi baginda pada majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannya berkata pemerkasaan UPMS selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan dan tenaga boleh baharu.
Beliau berkata antara inisiatif UPMS yang membanggakan ialah pelaksanaan projek AgriHub@Gedong yang merupakan hasil kerjasama strategik universiti itu dengan Pejabat Premier Sarawak.
"Projek ini bertujuan menerajui transformasi kegiatan penanaman padi di Lubok Punggor, Gedong dan merupakan titik permulaan penting dalam usaha membangunkan Sarawak sebagai hab pengeluaran padi berimpak tinggi di peringkat nasional," katanya.
Abang Johari berkata selaras dengan komitmen Sarawak terhadap pendidikan tinggi dan penyelidikan strategik, Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) akan ditubuh dengan kerjasama UPMS dalam menyokong aspirasi Keterjaminan Makanan.
"Penubuhan sekolah ini bakal membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang veterinar sekali gus memperkukuh kelestarian industri ternakan serta peningkatan tahap kesihatan haiwan di Sarawak," katanya yang turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk menyalurkan dana bagi memastikan kemampanan SVAS.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami