KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar 50 peratus ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) perlulah dianggotai golongan profesional yang pakar dalam bidang diperlukan dalam pembangunan sesebuah bandar dan bukan diisi oleh ahli politik semata-mata.

Baginda bertitah bilangan ahli majlis itu juga perlulah menggambarkan komposisi dan populasi kaum yang menetap di Bandar Klang agar semua kaum dapat diwakili.

“Beta suka mengingatkan kepada Ahli-ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datuk Bandar dan juga kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang agar sentiasa memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

“Jauhilah daripada segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak tertentu. Tuan-tuan semua kena turun padang bagi mendekatkan diri dan melihat sendiri masalah rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka,” titah baginda pada Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di sini hari ini.

Sultan Selangor turut bertitah agar MBDK mencari kaedah dalam mengatasi masalah banjir ekoran daerah berkenaan terletak di sepanjang laluan Sungai Klang dari hulu ke hilir sebelum air sungai itu menuju ke laut.

“Pendapat pakar perlu diperoleh bagi memastikan sebarang rancangan mengatasi masalah banjir ini dapat diatasi dengan berkesan. Sekiranya berlaku air pasang besar dan diikuti dengan hujan lebat, banjir besar akan melanda sebahagian daerah Klang dan akan menjejaskan kehidupan penduduk terlibat.

"Oleh demikian, beta mengharapkan Datuk Bandar dan Ahli-ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang mengambil serius tentang masalah ini dengan memikirkan langkah yang boleh diambil bagi mengatasinya. Pelan rancangan rapi dan teratur perlu dilaksana dengan mengambil kira kedudukan Bandaraya Diraja Klang yang terletak di muara Sungai Klang," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut berharap Bandar Klang membangun ke tahap lebih cemerlang dan dikenali dengan imej bandar raya bersih di samping memiliki daya tarikan warisan bersejarah.

“Antara perlu diberikan perhatian ialah tahap kebersihan kawasan perumahan, sungai dan tebing sungai serta kemudahan prasarana yang baik.

"Beta juga berharap pihak berwajib yang diamanahkan membangunkan Klang akan terus mempromosi industri pelancongan di lokasi-lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Klang, sekali gus mampu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk di daerah ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan supaya perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang segera dilaksanakan demi memastikan warga Bandaraya Diraja Klang hidup dalam keadaan harmoni dengan persekitaran selamat untuk dihuni.

"Apalah guna kita berbangga dengan pencapaian status bandar raya sekiranya masalah keperluan asas rakyat pun tidak dapat diurus dengan baik," titah baginda. 

-- BERNAMA