KUALA BERANG: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Jambatan Pulau Poh di Tasik Kenyir di sini, sempena Sambutan Ulang Tahun ke-61 Hari Keputeraan baginda, pada malam Jumaat.

Keberangkatan Tuanku Sultan dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, ke jambatan ikonik itu disambut Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman.

Turut berangkat keempat-empat anakanda baginda termasuk Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Yahaya Ali.

Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata jambatan berkonsepkan hiasan perahu tradisional masyarakat Terengganu dan memiliki kombinasi reka bentuk tradisional dan moden sepanjang 133 meter itu, menjadi penghubung antara Pengkalan Gawi dan Marina Pulau Poh, Tasik Kenyir.

"Kewujudan jambatan ini telah memberi peluang ekonomi baharu kepada rakyat tempatan di kawasan sekitar, terutamanya pembangunan di Tasik Kenyir dan Hulu Terengganu dengan penganjuran pelbagai program dan acara pelancongan di kawasan ini.

"Kewujudan perniagaan kecil seperti kiosk jualan di kawasan sekitar, sudah pasti memberi peluang kepada lebih ramai usahawan di negeri ini. Kerajaan negeri juga telah mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan bagi meningkatkan ekonomi setempat," katanya.

Bermotifkan kepala bangau dan dibina dengan konsep kabel tetap, jambatan Pulau Poh yang mempunyai empat lorong, telah memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) oleh Jabatan Kerja Raya pada 24 Okt 2021.

Projek yang menelan kos RM150 juta itu, telah diserahkan kepada Kerajaan Terengganu pada 22 Dis 2021 dan diuruskan secara sementara oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

-- BERNAMA