SEREMBAN: Seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap adik kandungnya tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 22 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah melakukan sumbang mahram dengan melakukan persetubuhan dengan adik kandung perempuannya berusia 12 tahun lapan bulan ketika kejadian yang mana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan pada bulan Januari dan Mac 2021 di sebuah rumah di Sikamat, Seremban.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebat.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan sebat tidak kurang daripada dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh tidak menawarkan jaminan memandangkan hubungan mangsa dan tertuduh merupakan adik- beradik selain mereka tinggal di alamat sama.

Peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh sedang mengikuti pengajian Diploma di sebuah IPT dan akan menjalani latihan industri.

Katanya, tertuduh merupakan anak keempat dari lima beradik manakala mangsa anak kelima.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Tertuduh juga perlu tinggal di rumah berlainan dengan mangsa dan sebutan semula kes 18 Mac ini. - Sinar Harian