MEXICO CITY: Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 bakal membuka tirainya pada Khamis di Mexico City, sekali gus menandakan permulaan edisi terbesar kejohanan itu sejak diperkenalkan pada 1930, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico, kejohanan kali ini menampilkan rekod baharu dengan penyertaan 48 pasukan kebangsaan, menjadikannya Piala Dunia pertama yang dianjurkan di tiga negara berbeza.
Perlawanan pembukaan dalam Kumpulan A menyaksikan pasukan tuan rumah, Mexico, menentang Afrika Selatan di Estadio Azteca. Stadium berkenaan melakar sejarah sebagai venue pertama yang menganjurkan perlawanan Piala Dunia FIFA untuk tiga edisi berbeza, selepas pernah menjadi hos pada tahun 1970 dan 1986.
Edisi 2026 ini merupakan pengembangan pertama format kejohanan daripada 32 kepada 48 pasukan, yang menyaksikan jumlah perlawanan meningkat daripada 64 kepada 104, sekali gus memanjangkan tempoh persaingan kepada hampir enam minggu.
Semua perlawanan akan berlangsung di 16 bandar raya tuan rumah, merangkumi 11 di AS, tiga di Mexico dan dua di Kanada.
Kejohanan kali ini turut menyaksikan rekod penyertaan terbesar dari dunia Arab, dengan lapan pasukan berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir buat julung kalinya. Maghribi, Mesir, Tunisia, Algeria, Arab Saudi, Qatar, Jordan dan Iraq akan mewakili dunia Arab, menandakan kehadiran terbesar rantau berkenaan dalam sejarah Piala Dunia.
Format yang diperluas ini merangkumi sembilan pasukan dari Asia, 10 dari Afrika, 16 dari Eropah, enam dari Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF), enam dari Amerika Selatan dan satu pasukan dari Oceania.
Kejohanan ini dijangka menjana pendapatan rekod buat FIFA menerusi peningkatan jualan tiket, hak penyiaran, perjanjian penajaan serta rakan kongsi komersial.
FIFA menjangkakan kira-kira tujuh juta penonton akan membanjiri stadium sepanjang kejohanan berlangsung, manakala jumlah tontonan global diunjurkan mencecah hampir enam bilion merentasi pelbagai platform penyiaran.
-- BERNAMA-WAM