Skip to main content

Malaysia

Trend ubah suai motosikal ekstrem meningkat, JPJ ambil pendekatan dakwa penunggang

KUALA LUMPUR, 10 Jun -- Pengarah Kanan Penguat Kuasa di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan (tengah) melihat motosikal yang telah disita ketika sidang media Ops Motosikal (EXTREME) di Dewan Meranti JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.  Operasi tersebut dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertujuan membanteras pengubahsuaian haram serta kesalahan teknikal melampau melibatkan motosikal. Penguatkuasaan termasuk penyitaan kenderaan dan pendakwaan di mahka
Muhammad Kifli (tengah) melihat motosikal yang telah disita ketika sidang media Ops Motosikal (EXTREME) di Dewan Meranti JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mendakwa kes pengubahsuaian motosikal secara ekstrem di mahkamah mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 susulan peningkatan trend berkenaan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, setakat ini tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah peruntukan itu dan mendapat izin dakwa daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, langkah itu adalah satu pendekatan baharu JPJ yang sebelum ini lebih tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan seperti saman dan sitaan.

“Kami telah mengesan penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya dan melulu... yang paling mendukacitakan dan paling membahayakan ialah penunggang motosikal ini terus menanggalkan ataupun membuang brek belakang. Jadi bayangkan motosikal tersebut bergerak dalam keadaan tiada brek.

“Mana-mana motosikal yang membuat pengubahsuaian secara ekstrem, kami akan sita dan kami akan dakwa penunggang motosikal terbabit,” katanya pada sidang media Ops Motosikal (Ekstrem) di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Muhammad Kifli berkata, lebih 300 motosikal yang diubah suai secara ekstrem telah disita sejak awal tahun ini, dengan Kuala Lumpur merekodkan jumlah sitaan tertinggi.

Beliau berkata, antara pengubahsuaian yang sering dikesan termasuk penggunaan tayar sotong, pertukaran enjin tanpa kebenaran, pemasangan swing arm (komponen struktur) panjang, pengubahsuaian atau pemadaman sistem unit kawalan elektronik (ECU) serta penanggalan brek belakang.

“JPJ memandang serius trend pengubahsuaian motosikal secara ekstrem yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan kerana boleh menjejaskan ciri keselamatan asal kenderaan serta meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

“Golongan yang terlibat kebanyakannya terdiri daripada belia berumur antara 18 hingga 30 tahun, namun terdapat juga kes membabitkan pelajar sekolah seawal usia 12 tahun,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh operasi, beliau berkata, pasukan khas Team Falcon melaksanakan penguatkuasaan setiap minggu bagi mengesan motosikal yang diubah suai secara ekstrem serta penunggang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 APJ 1987.

Berdasarkan pangkalan data JPJ, katanya, sebanyak 848,885 notis JPJ(P)22 dikeluarkan kepada penunggang motosikal bagi pelbagai kesalahan pada 2024, diikuti 711,722 notis pada 2025 dan 252,118 notis setakat Mei tahun ini.

Muhammad Kifli berkata, sejak 2021 hingga tahun ini, sebanyak 38,959 motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 kerana melanggar peruntukan undang-undang.

Mengulas tindakan terhadap pemilik motosikal, beliau berkata, saman akan dikeluarkan bukan sahaja kepada penunggang malah kepada pemilik berdaftar termasuk ibu bapa sekiranya kenderaan itu didaftarkan atas nama mereka.

Mengenai kemungkinan tindakan terhadap bengkel yang melakukan pengubahsuaian motosikal secara haram, beliau berkata, JPJ sedang meneliti aspek perundangan dan akan menjalankan kajian lanjut sebelum membuat sebarang pengumuman.

Katanya, JPJ juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan komponen yang digunakan mematuhi peraturan ditetapkan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement