LIPIS: Para penerima Sumbangan Ahlan Ramadan Yayasan Pahang 2023 memzahirkan rasa syukur dan gembira apabila menerima sumbangan daripada Yayasan Pahang yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di bulan Ramadan dan persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyampaian Sumbangan  Ahlan Ramadan Yayasan Pahang 2023 di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Felda Koyan 1 di sini pada Sabtu. 

Sempena majlis itu seramai 529 penerima dari 13 kampung sekitar kawasan Jelai yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan menerima bantuan berjumlah RM300 masing-masing. 

Zaini Mahmood (atas kerusi roda)  bersama keluarga sempena Majlis Penyampaian Sumbangan  Ahlan Ramadan Yayasan Pahang 2023 di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Felda Koyan 1 di sini pada Sabtu. - Foto Astro AWANI

Seorang penerima, Zaini Mahmood, 70, dari Kampung Kuala Medang di sini bersyukur kerana bantuan wang tunai tersebut dapat digunakan untuk perbelanjaan sempena Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

"Kaki kiri makcik kudung sejak tiga tahun lepas ekoran penyakit kencing manis. Suami berusia 78 tahun juga tidak sihat dan kami hanya mengharapkan ihsan anak-anak selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

“Menerusi bantuan ini dapatlah menampung perbelanjaan semasa puasa dan makcik bercadang sebahagian lagi duit ini dibelanjakan untuk kelengkapan raya, " katanya ketika ditemui  pada majlis berkenaan, hari ini. 

Susilawati Haron bersama bantuan yang diterima sempena Majlis Penyampaian Sumbangan  Ahlan Ramadan Yayasan Pahang 2023 di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Felda Koyan 1 di sini pada Sabtu. - Foto Astro AWANI

Seorang suri rumah, Susilawati Haron, 49, dari Kampung Kuala Medang pula menghargai bantuan daripada Yayasan Pahang untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. 

"Saya mengalami sakit lutut kronik dan dengan bantuan RM300 ini dapatlah digunakan untuk perubatan serta perbelanjaan untuk Hari Raya nanti. 

“Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang dan sudah pasti saya gembira kerana bantuan kali ini jumlahnya meningkat berbanding sebelum ini," ujarnya. 

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, penerima sumbangan terbabit terdiri daripada 148 anak yatim, 260 pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) serta ibu tunggal seramai 121 orang. 

Jelasnya, mereka menerima bantuan prihatin berbentuk wang tunai RM300 dan kurma setiap seorang  membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM173,700.

"Saya berterima kasih kepada Yayasan Pahang kerana menaikkan kadar sumbangan daripada RM200 sebelum ini kepada RM300 dan ini membuktikan bahawa kedudukan kewangan Yayasan Pahang berada pada tahap yang baik.

"Saya berharap, semoga dengan pemberian ini dapat meringankan beban penerima dalam membeli barangan keperluan harian terutama ketika menghadapi bulan Ramadan dan juga Aidilfitri," katanya.