KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mempertahankan tindakan kerajaan membantu Turkiye ketika negara itu dilanda gempa bumi kuat yang mengorbankan puluhan ribu orang baru-baru ini.

Mendedahkan langkah tersebut, Perdana Menteri berkata Kerajaan Turkiye di bawah kepimpinan Recep Tayyip Erdogan pernah menyalurkan ratusan juta ringgit ketika negara berdepan impak COVID-19 dan ekonomi menurun.

Jelas beliau, sumbangan Kerajaan Malaysia berjumlah RM40 juta hanyalah kecil jika dibandingkan dengan bantuan yang disalurkan Presiden Turkiye itu.

"Ada orang kritik kenapa bagi banyak sangat kepada Turkiye? Sebenarnya tak banyak...kita bagi kecil.

"Semasa kita hadapi masalah pada awal dulu ketika COVID-19 dan ekonomi menurun, banyak pelabur kita di Turkiye.

"Pada masa itu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan membantu kita cecah ratusan juta ringgit untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kita," katanya pada Selasa.

Perdana Menteri berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam 2023 dan jamuan makan tengah hari bersama Pasukan Penyelamat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Malaysia ke Turkiye, di sini.

Selain hubungan Malaysia-Turkiye yang istimewa, Ahli Parlimen Tambun itu menambah beliau juga memiliki hubungan persahabatan yang baik dengan Erdogan.

"Jadi jangan kita, bila orang dalam keadaan susah, dia (Turkiye) ringankan (masalah Malaysia).

"Saya tanya yang meninggal dunia dan terkesan (akibat gempa) dan dana untuk membangunkan (kerugian) memerlukan ratusan bilion ringgit.

"Jadi kita cuma beri sumbangan yang kecil untuk meringankan," ujar Perdana Menteri.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata kerajaan sangat menghargai pengorbanan semua anggota SAR daripada pelbagai agensi yang menyertai misi bantuan ke Turkiye.

Mengakui berasa bertuah, Anwar berkata kesungguhan penjawat awam turut ditunjukkan ketika menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir termasuk di Johor.

Ujar Perdana Menteri lagi, semua penjawat awam boleh menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang jika diberikan galakan dan pengiktirafan.

"Saya sebagai Perdana Menteri sangat bertuah dan bernasib baik kerana jentera kita begitu efisien dan meredakan serta meringankan masalah yang dihadapi rakyat.

"Jadi kepada saudara dan mereka yang berkhidmat, saya ucapkan penghargaan terima kasih," katanya.

Pada 16 Februari lalu, Perdana Menteri berkata dana bantuan kemanusiaan Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria mencecah RM50 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM40 juta akan disumbangkan ke Turkiye, manakala RM10 juta lagi kepada Syria.