GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menegaskan bahawa penerimaan sumbangan atau wakaf daripada bukan Islam tidak bermaksud golongan itu diberikan hak kesamarataan dalam perkara berkaitan akidah, ibadah, kepimpinan agama atau pengurusan institusi Islam.
JHEAIPP dalam kenyataan di Facebooknya pada Ahad memaklumkan perkara itu perlu dibezakan antara urusan muamalat dan kebajikan kemasyarakatan dengan urusan akidah, ibadah serta kepimpinan agama, selain menegaskan penerimaan sesuatu sumbangan tidak secara automatik memberikan penyumbang hak terhadap institusi, tanah, pentadbiran atau keputusan agama berkaitan.
"Sebagai contoh, sumbangan bukan Islam kepada pembinaan masjid boleh diterima sebagai bentuk kebajikan dan hubungan kemasyarakatan namun ia tidak memberikan hak kepada penyumbang untuk menjadi ahli jawatankuasa, pengerusi, imam, khatib atau memegang jawatan berkaitan pengurusan agama Islam, termasuk menggunakan atau menguasai kemudahan yang dikhususkan untuk umat Islam.
"Justeru, contoh berkaitan tanah perkuburan Islam dan jawatan dalam pentadbiran masjid yang dikaitkan dengan penerimaan sumbangan merupakan andaian yang tidak berasaskan maksud sebenar hukum wakaf dan sumbangan," menurut kenyataan itu sebagai respons terhadap pandangan dan bantahan berhubung kandungan khutbah Jumaat Negeri Pulau Pinang pada 7 Ogos lepas.
JHEAIPP turut menegaskan bahawa penerimaan sumbangan tidak boleh disamakan dengan pemberian pahala seperti orang Islam kerana soal pahala dan ganjaran akhirat adalah hak mutlak Allah SWT, dan manusia tidak boleh menetapkan secara pasti kadar atau bentuk ganjaran seseorang tanpa sandaran nas yang jelas.
Kenyataan itu memaklumkan pada masa sama, Islam mengiktiraf perbuatan baik bukan Islam yang membantu manusia, menyumbang kepada kebajikan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut JHEAIPP, kebimbangan bahawa penerimaan sumbangan daripada bukan Islam akan menyebabkan "Islam tercemar" atau maruah umat terhakis juga perlu dinilai dengan berhati-hati kerana kekuatan Islam terletak pada keteguhan akidah, kefahaman syariat, akhlak dan kebijaksanaan mengurus kehidupan bermasyarakat, bukannya dengan menolak setiap bentuk kebaikan daripada pihak lain.
"Rasulullah SAW sendiri berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam dalam urusan muamalat termasuk berjual beli dan berhutang... malah dalam hadis sahih, baginda pernah membeli makanan secara hutang daripada seorang Yahudi dengan menggadaikan baju besinya sebagai jaminan yang menunjukkan hubungan muamalat tidak boleh disamakan dengan pencampuran akidah," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, JHEAIPP berpandangan kebimbangan terhadap masa depan umat Islam adalah sesuatu yang boleh difahami namun ia perlu berasaskan ilmu dan fakta bukan andaian bahawa sesuatu sumbangan akhirnya akan membawa kepada tuntutan hak yang lebih besar sehingga membolehkan bukan Islam menguasai masjid atau tanah perkuburan Islam.
"Wakaf ialah institusi syariah yang mempunyai hukum, tujuan, syarat, tatacara pengurusan dan pihak berkuasa yang ditentukan berdasarkan syarak serta undang-undang negeri... penerimaan sesuatu sumbangan tidak menggugurkan semua peraturan tersebut," menurut kenyataan itu.
Dalam konteks Pulau Pinang, JHEAIPP memaklumkan bahawa sebarang urusan berkaitan wakaf, masjid, tanah perkuburan Islam dan pengurusan institusi agama tetap tertakluk kepada hukum syarak, peruntukan undang-undang serta bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.
Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan penerimaan sumbangan bukan Islam sebagai pemberian "hak sama rata" terhadap institusi Islam.
JHEAIPP turut menyeru masyarakat supaya menilai isu berkenaan secara adil, tenang dan berasaskan ilmu serta tidak membuat kesimpulan di luar konteks khutbah atau hukum yang sebenar.
Menurut kenyataan itu, dalam masyarakat majmuk seperti Pulau Pinang, dakwah perlu disampaikan secara berhikmah dengan mengekalkan keteguhan akidah dan kejelasan syariat di samping berlaku adil dalam muamalat serta menghargai kebaikan.
-- BERNAMA