KUALA LUMPUR: Penyedia insurans hayat dan takaful keluarga terkemuka negara, Sun Life Malaysia, melancarkan kempen ‘10 Years Brighter’ sempena meraikan ‘hari jadi’ mereka yang ke-10 tahun.

Sudah sedekad syarikat tersebut memainkan peranannya dalam memperkasa rakyat Malaysia dengan keselamatan kewangan menerusi penyelesaian insurans hayat dan takaful keluarga yang inovatif dan patuh Syariah, dan dengan kempen ini, mereka mahu menghargai para pelanggan dan penyokong setianya.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden/Ketua Negara bagi Sun Life Malaysia, Raymond Lew, sambutan ulang tahun ke-10 ini adalah peristiwa penting untuk Sun Life Malaysia kerana ia juga mencerminkan usaha tanpa lelah kakitangan dan penasihat kami memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.

“Di Sun Life Malaysia, kami komited untuk membantu rakyat Malaysia menjamin masa depan kewangan mereka dan menjalani kehidupan yang lebih sihat, dan saya berbangga untuk mengatakan bahawa dari 10 tahun yang lalu, kami tetap komited sepenuhnya kepada misi tersebut.

“Kami menjadikan perlindungan lebih mudah diakses kepada pelanggan kami dan seluruh rakyat Malaysia, dan paling penting, membantu mereka mencapai aspirasi kewangan dan kesihatan.”

Kempen ulang tahun itu dirasmikan pada Sabtu 27 Mei 2023 di jerayawara (roadshow) kedua mereka bertempat di Pusat Beli-Belah 1 Utama, Petaling Jaya yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mei tempoh hari.

Ia dilancarkan oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life, Kevin Strain, bersama Presiden Sun Life Asia, Ingrid Johnson; Raymond Lew dari Sun Life Malaysia; Pengerusi Sun Life Malaysia, Datuk Noorazman Abd Aziz; dan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful, Jeffry Azmi Mohd Shah.

Dalam 10 tahun sejak kewujudannya, syer pasaran Sun Life sudah berkembang tiga kali ganda dan telah berkhidmat kepada lebih 1.2 juta pelanggan. Keupayaan agihan bankasurans dan bankatakafulnya juga meningkat untuk menyambut saluran agensi terus mahupun hibrid.

Sepanjang dekad tersebut, syarikat ini juga mencapai beberapa kedudukan pertama dalam industri, termasuk menjadi syarikat insurans dan pemain takaful pertama yang melancarkan penyelesaian takaful menyeluruh yang menepati lima prinsip Islam; produk insurans mikro berasaskan mudah alih pertama pasaran, dan dana ESG berkaitan pelaburan untuk kedua-dua produk konvensional serta takaful, dan yang terbaharu, pelan penyakit kritikal berbilang generasi yang telah pun memenangi anugerah.

Sebagai sebuah jenama yang menjuarai kelestarian, Sun Life Malaysia menyedari kepentingan membina masyarakat yang lebih terangkum dan mampan.

Sebagai sebahagian daripada acara, syarikat ini mengumumkan lanjutan kerjasamanya dengan persatuan kebajikan HOPE worldwide Malaysia untuk projek-projek impak sosial remaja; sebuah program jangka panjang penanaman pokok bersama Yayasan Hijau Malaysia, dan sebuah kolaborasi dengan United Voice untuk memperkasa insan yang memiliki kekurangupayaan pembelajaran.

Ketika acara tersebut, Sun Life Malaysia mempersembahkan 10 lukisan yang dibeli daripada artis-artis United Voice kepada para Penasihat Sun Life yang cemerlang.

“Sedekad sudah berlalu, dan kami memperingati peristiwa penting ini dengan barisan acara sepanjang tahun yang menyeronokkan, jerayawara, ganjaran mingguan, dan pelbagai kejutan.

Kami mahu berkongsi penghargaan dan rasa terima kasih kepada pelanggan dan penyokong setia kami, dan kami berharap dapat terus memberikan perlindungan kewangan yang dipercayai dan mempromosikan kehidupan yang lebih sihat untuk berdekad lagi.” tambah Lew.