Secara umumnya Sungai Melaka masih lagi dikategorikan sebagai sungai yang bersih oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, kata Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.

Beliau berkata secara taburan tahap kualiti air Sungai Melaka berada di tahap kelas dua bersih di bahagian hulu sungai dan sedikit menurun kepada kelas ketiga dan keempat di sebahagian stesen air di hilir sungai.

"Pemantauan tahap kualiti air dilakukan secara dwibulanan (dua kali sebulan) di 21 buah stesen bermula dari bahagian hulu sungai yang terletak bersempadan dengan Daerah Tampin, Negeri Sembilan sehingga muara Sungai Melaka di bahagian hilir sungai.

Air yang diambil akan dibandingkan dengan indeks kualiti air sungai melalui tiga kelas utama untuk menunjukkan tahap kualiti dan kesesuaian kegunaan air mengikut stesen," katanya pada sesi jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai status terkini kualiti air Sungai Melaka dan siapakah yang bertanggungjawab ke atas kualiti air agar ianya sentiasa bersih dan bagaimana jadual pemantauan ini dilaksanakan.

Katanya, antara yang faktor yang menyumbang kepada penurunan kualiti air di Sungai Melaka adalah pencemaran daripada aktiviti antropogenik seperti pertanian, perladangan, ternakan, perindustrian dan pelepasan kumbahan.

Mohd Sofi berkata bagi memastikan bahawa kualiti air di Sungai Melaka berada dalam tahap bersih kerajaan negeri memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri, kerajaan pusat, pihak berkuasa tempatan, agensi swasta dan juga orang ramai.

"Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka menjalankan pemantauan secara berkala di kawasan hulu Sungai Melaka bagi tujuan memantau pembekalan air mentah ke loji lawatan air, disamping itu juga pemantauan berasaskan aduan turut dilakukan pada bahagian hilir sungai bagi memastikan bahawa punca air Melaka berada dalam keadaan bersih dan terpelihara daripada pencemaran," katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan negeri juga sedang menguatkuasakan had pelepasan bahan pencemar dari industri dan kumbahan di tahap Standard A.

--BERNAMA