SEPANG: Kerajaan bersetuju untuk mempercepatkan suntikan dos kedua vaksin AstraZeneca daripada 12 minggu kepada sembilan minggu.

Menteri Penyelaras Program COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, dianggarkan lebih sejuta penerima yang terlibat dalam program sukarela AstraZeneca COVID-19 akan menerima janji temu dalam masa terdekat.

“Saya ingin memaklumkan berdasarkan saranan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID- 19 (JKJAV) dan sumbangan vaksin oleh kerajaan Jepun, kita akan mengurangkan (tempoh pemberian) dos AZ dari 12 minggu kepada sembilan minggu.

“Jadi semua individu yang menerima vaksin AstraZeneca akan mendapat dos kedua dalam tempoh sembilan minggu.

“Mereka yang terlibat pada fasa pertama suntikan AstraZeneca pada bulan Mei akan menerima notifikasi janji temu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyambut  ketibaan satu juta vaksin itu yang disumbangkan oleh kerajaan Jepun.

Hadir sama ialah Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka.

Terdahulu, pesawat penerbangan Japan Airlines JL073 yang membawa vaksin AstraZeneca (AZ) sumbangan kerajaan Jepun selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.20 petang.

Sebelum ini slot vaksin AstraZeneca COVID-19 bagi penduduk Kuala Lumpur dan Selangor ditempah sepenuhnya hanya dalam tempoh tiga jam 20 minit, selepas pendaftaran dibuka.