Skip to main content

Malaysia

Istana Negara teliti pemerkasaan sokongan kesihatan mental remaja

Raja Permaisuri Agong bertitah kesihatan mental kanak-kanak dan remaja perlu diberikan keutamaan, dengan semua pihak bertanggungjawab memelihara kesejahteraan fizikal, mental dan emosi mereka. - Gambar Instagram @officialsultanibrahim
Raja Permaisuri Agong bertitah kesihatan mental kanak-kanak dan remaja perlu diberikan keutamaan, dengan semua pihak bertanggungjawab memelihara kesejahteraan fizikal, mental dan emosi mereka. - Gambar Instagram @officialsultanibrahim

Advertisement

KUALA LUMPUR: Istana Negara meneliti inisiatif bagi memperkukuh sistem aduan dan saluran bantuan kesihatan mental untuk kanak-kanak serta remaja.

Usaha itu susulan kebimbangan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, terhadap isu kesihatan mental generasi muda yang semakin membimbangkan.

Menurut kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sesi perbincangan bagi meneliti inisiatif berkenaan diketuai Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

"Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh mekanisme aduan dan saluran bantuan yang mudah diakses, selamat serta berkesan di samping meningkatkan keberkesanan sistem sokongan kepada pelajar yang memerlukan perhatian dan bantuan," titah baginda, pada Jumaat.

Usaha itu turut membabitkan Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA International), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta kaunselor berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia.

Raja Permaisuri Agong bertitah, kesihatan mental kanak-kanak dan remaja perlu diberikan keutamaan, dengan semua pihak bertanggungjawab memelihara kesejahteraan fizikal, mental dan emosi mereka.

“Kanak-kanak dan remaja perlu merasakan diri mereka disayangi serta mendapat sokongan, sama ada di rumah atau di sekolah,” titah baginda.

Sehubungan itu, kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental perlu terus dipertingkatkan agar tanda-tanda tekanan emosi dapat dikesan lebih awal dan bantuan sewajarnya diberikan.

Must Watch Video

Advertisement