KUALA TERENGGANU: Tiga ‘mat rempit’ yang menunggang motosikal dengan lagak  'Superman' dan 'zig-zag' tewas selepas ditahan di sebuah stesen minyak di Sungai Tong, Setiu pada Jumaat.

Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam ketika pegawai serta anggota Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu yang melakukan tinjauan dalam Ops Samseng Jalanan di KM 423 hingga 433 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

Ketua JSPT Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, ketika melakukan tinjauan di laluan berkenaan, pihaknya terserempak dengan sekumpulan penunggang motosikal.

Katanya, tiga daripada mereka didapati menunggang motosikal secara berbahaya di KM424 LPT2.

“Ketiga-tiga pemuda itu membuat aksi 'Superman', bersaing sesama sendiri dan 'zig-zag' sebelum anggota bertindak mengekori mereka.

"Kira-kira 30 minit mengekori tiga lelaki terbabit, mereka ditahan ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Sungai Tong, Setiu.

"Kesemua suspek dan motosikal tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Abd Razak berkata, selain menyita tiga buah motosikal, pihaknya turut mengeluarkan 14 saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti ubah suai ekzos, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran, ubah suai aksesori, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.

Tegas Abd Razak, pihaknya memandang serius aktiviti tidak sihat ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang.

Justeru operasi berterusan, katanya, akan dilakukan bagi mengekang aktiviti tidak sihat ini yang bukan hanya berbahaya kepada penunggang itu sendiri tetapi pengguna jalan raya yang lain.