IPOH: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya yang terlantar, pada Ahad lepas.
Tertuduh, Chew Long Thye, 49, ibu kepada seorang anak perempuan berumur 25 tahun, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Kantonis, di hadapan Majistret Norizan Riduan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ibunya, Ching Lai Kheng, 70, di sebuah rumah di Laluan Kledang Utara 6, Taman Wang, Menglembu, Ipoh, antara jam 7.15 hingga 7.30 malam, 27 September lepas.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah memerintahkan tertuduh dirujuk kepada pakar bagi tujuan pemeriksaan psikiatri di bawah Seksyen 342(3) Kanun Prosedur Jenayah.
Mahkamah menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan psikiatri dan laporan-laporan lain.
Pada Ahad, media melaporkan seorang wanita warga emas ditemukan maut selepas dipercayai dibunuh anak perempuannya dalam kejadian di Taman Wang, Menglembu, Ipoh.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata mangsa berusia 70 tahun ditemukan dengan kesan satu tikaman di dada, dipercayai ditikam oleh anak perempuannya berumur 49 tahun yang mempunyai masalah mental.
Menurutnya, mangsa baru sahaja diambil daripada sebuah pusat jagaan orang tua di Pusing untuk dijaga oleh anak dan menantunya.