SHAH ALAM: Suruhanjaya Tenaga (ST) menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan risiko renjatan elektrik daripada kebocoran arus yang mungkin berlaku di sekitar kediaman terutamanya di musim hujan dan banjir yang sedang melanda negara ketika ini.

ST berkata, sekiranya didapati terdapat kejanggalan pada pepasangan elektrik seperti penebat wayar yang koyak, orang ramai disarankan untuk melaporkan kepada pihak utiliti bekalan tersebut.

“Sebelum banjir, sekiranya mempunyai masa sebelum diarah berpindah, matikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan meletakkan suis utama ditutup dan cabutkan palam kuasa daripada soket kuasa semua kelengkapan elektrik.

“Sekiranya rumah anda dipasang dengan sistem panel solar fotovoltaik (PV) atau pagar elektrik, matikan sistem tersebut sebelum anda keluar rumah.

“Pastikan menyimpan nombor telefon pejabat kecemasan seperti nombor balai polis, bomba, hospital dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berdekatan dan pastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah suruhanjaya berkenaan, semasa banjir, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melalui kawasan yang mempunyai talian tenaga itu ketika paras air meningkat kerana berisiko menyebabkan renjatan.

Jelasnya, mereka dilarang sama sekali untuk mengalih atau membaiki tiang elektrik tumbang atau taliannya yang putus atau jatuh ke tanah.

“Selepas banjir, jangan gunakan kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air atau pastikan semuanya diperiksa dan berkeadaan kering sebelum menggunakannya. Elakkan menggunakan kelengkapan elektrik yang diragui keselamatannya.

“Jangan biarkan anak-anak bermain dalam kawasan pencawang elektrik yang telah ditenggelami banjir atau berhampiran dengan tiang elektrik yang tumbang atau di sekitar talian elektrik yang kendur atau jatuh di tanah,” ulasnya.

ST juga memandang serius berkaitan insiden kemalangan akibat renjatan elektrik yang meragut tiga nyawa di Kampung Morak, Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Ujarnya, satu siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“ST amat bersimpati dan bersedih di atas kejadian yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan.

“Sekiranya didapati berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Bekalan Elektrik, 1990 [Akta 447] dan Peraturan-Peraturan Elektrik, 1994,” ujarnya. -Sinar Harian