Suspek kedua berhubung kejadian letupan bom yang menyebabkan kematian seorang kerani sekolah di Tumpat pada Ahad lalu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata lelaki berusia 28 tahun itu yang merupakan jiran kepada keluarga mertua mangsa menyerah diri pada pukul 10.15 pagi tadi.

"Suspek akan direman selama seminggu sementara motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu dan dendam," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Manek Urai, Kuala Krai, maut akibat terkena letupan ketika dia mengambil bungkusan yang ditinggalkan di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna di halaman rumah mertuanya di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk.

Rabu lepas, seorang anggota tentera berusia 29 tahun yang disyaki turut terbabit dalam kejadian itu telah direman.

Mazlan berkata dengan tertangkapnya suspek kedua itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Sementara itu beliau berkata pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran pil kuda di daerah Kota Baharu dan Pasir Mas.

"Dalam serbuan pada 2.50 pagi tadi itu, polis menangkap sepasang suami isteri di sebuah rumah di Kampung Gaung Belukar Pendek di sini," katanya.

Beliau berkata polis merampas 2,440 biji disyaki pil kuda dan 10 paket yang disyaki mengandungi pil tersebut yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM150,000.

"Kita juga merampas wang tunai berjumlah RM11,300, seutas jam dan seutas gelang tangan serta dua buah kenderaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.