KUALA LUMPUR:Malaysia memerlukan proses penyusunan semula sistem dalam semua aspek bagi meyakinkan orang ramai terhadap keupayaan serta kedudukan negara berada pada landasan tepat.

Bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak berkata, langkah itu bagi memerihalkan 'wajah baharu' Malaysia sekali gus mempunyai sistem yang lebih baik.

Bagi tujuan itu, beliau menerusi kerjasama dengan beberapa ahli akademik dan masyarakat sivil memulakan kajian selama enam bulan untuk mengumpulkan pandangan rakyat Malaysia di pelbagai spektrum masyarakat.

"Tujuan kami adalah untuk memerihalkan bagaimana rupa Malaysia yang lebih baik dan meyakinkan orang ramai bahawa ada sistem yang lebih baik dan kita perlu melalui proses penyusunan semula sistem yang memedihkan menerusi  kajian yang dilakukan secara langsung dan digital di mybetterfuture.org.

"Malaysia juga bernasib baik kerana telah melalui proses seperti itu pada tahun 1970-an. Kita telah menubuhkan Majlis Perundingan Negara (NCC), yang terdiri daripada 67 wakil keratan rentas masyarakat yang mengandungi ahli politik, ahli perniagaan, kesatuan sekerja hinggalah kumpulan agama dan sebagainya.

"Dalam keselamatan platform musyawarah, mereka memperdebatkan apa yang perlu dilakukan untuk membawa negara kembali daripada jurang perkauman yang membawa kepada pembaharuan yang saya sebutkan tadi," katanya di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Nazir menambah, matlamat segera projek yang dilaksanakan untuk mendapatkan sokongan penubuhan platform musyawarah lain seperti NCC.

Menurut beliau, NCC versi kedua perlu berdebat dan memutuskan banyak prinsip dan pembaharuan kritikal yang bakal menentukan apa sebenarnya Malaysia Baharu.

"Kita harus benar-benar jujur dan mengakui bahawa sistem ini tidak lagi berfungsi melainkan kita mengambil langkah berani untuk merombaknya, saya khuatir bahawa kita akan terus terbelenggu dalam keadaan pertumbuhan ekonomi hambar, politik yang tidak berfungsi dan masyarakat yang berpecah belah ini.

"Keadaan bangsa menuntut agar kita berusaha ke arah ketidakterusan dan ketetapan semula.

"Sekiranya kebijaksanaan konvensional mengatakan bahawa ketetapan semula nasional
memerlukan satu krisis seperti Krisis Kewangan Asia di Indonesia atau tamatnya apartheid di Afrika Selatan, Malaysia sudahpun berada dalam krisis COVID-19 dan keadaan darurat," ujarnya.

BACA: Malaysia perlukan satu 'system reset'