MALAYSIA
SWCorp, Alam Flora perkenal mesin pembersih jalan moden, mesra alam

Hee Loy Sian (tengah) mencuba sendiri mesin pembersih jalan berkenaan yang dilengkapi sistem sedutan berkuasa tinggi, kapasiti tong sisa 240 liter, penapis habuk ISO 5011, lampu keselamatan LED dan penggera. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) memperkenalkan mesin pembersih jalan moden yang lebih mesra alam bagi kerja-kerja pembersihan awam di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang.
Pengerusinya, Hee Loy Sian berkata, mesin dikenali sebagai Glutton Electric Vacuum Litter Picker yang menggunakan 100 peratus tenaga elektrik itu mampu beroperasi selama 16 jam menggunakan bateri boleh dicas semula.
Menurutnya, mesin berkenaan dilengkapi sistem sedutan berkuasa tinggi, kapasiti tong sisa 240 liter, penapis habuk ISO 5011, lampu keselamatan LED dan penggera undur untuk tujuan keselamatan serta rekaan ergonomik dengan kawalan 'joystick' bagi keselesaan pengguna.*
"Mesin pembersih jalan moden terbabit merupakan langkah awal untuk mengurangkan pencemaran di kawasan tumpuan awam dan sebahagian daripada pelaksanaan Projek Rintis Jalan Tanpa Debu oleh SWCorp."Projek itu memfokuskan kepada aspek kebersihan fizikal di kawasan strategik yang sering menjadi tumpuan pelancong dan penduduk setempat serta penganjuran acara berskala besar," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Glutton Electric Vacuum di Pusat Penjaja Jalan Alor, Bukit Bintang di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalib Mohamed dan Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Mohamad Muhazni Mukhtar.
Loy Sian berkata, mesin tersebut diyakini mampu mempertingkat tahap kebersihan bandar raya dengan kecekapan operasi dan ciri-ciri mesra pekerja serta alam sekitar.
Katanya, mesin berkenaan bukan sahaja beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga elektrik, malah direka bentuk untuk berkongsi dengan lebih cekap, senyap dan mesra alam.
Jelasnya, langkah tersebut bukan sekadar meningkatkan kecekapan dan konsisten dalam perlaksanaan tugas, malah menambah efisiensi serta kebersihan di lokasi pelancongan dan tumpuan awam.
"Untuk permulaan, sebanyak dua mesin disediakan untuk membantu dan memudahkan pekerja melakukan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam di kawasan terlibat.
"Matlamat utamanya adalah untuk mewujudkan persekitaran bandar yang bebas daripada debu, kotoran halus dan pencemaran, sekali gus memperkukuh imej bandar raya yang bersih dan lestari," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/740815/berita/swcorp-alam-flora-perkenal-mesin-pembersih-jalan-moden-mesra-alam
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami